Tuesday, 3 February 2015

Ubatilah Jemu-mu Dengan Rasa Syukur..

" Bosannya! Setiap hari buat kerja yang sama.. Bangun, siapkan sarapan, mandikan anak-anak, kemas rumah, basuh baju, lipat baju! ", rungut seorang suri rumah.

"Argh..  kenapa aku rasa kehidupan aku semakin hari semakin bosan, setiap hari, pergi bekerja, balik rumah, petang balik kerja, melayan karenah isteri dan anak-anak pula.. begitulah keesokannya.. kehidupanku sama sahaja..", keluh seorang suami.

"Setiap hari buat kerja yang sama, mengajar benda yang sama, perlu hadir meeting, conference, nanti studentku exam, marking paper pula", Puan Aida, pensyarah, merenung sejenak memikirkan kehidupannya.

"Boring kan.. kita selalu makan lauk ayam, tak lauk ayam, daging atau ikan.. hurm.."

"Bosannya! kenapa aku rasa bosan sangat ni. Tak tahu nak buat apa.. tak da mood.."



.....................................................................................................................
Layakkah BOSAN bertandang dalam hidup kita?

Dialog ini bukan menjadi sesuatu asing dalam kehidupan kita. Ayuh kita merenung kembali adakah layak untuk kita katakan perkataan BOSAN, BORING atau JEMU?

Semestinya jawapannya TIDAK!

Kerana tujuan hidup kita di atas muka bumi ini adalah khalifah, iaitu memakmurkan bumi ini dengan semua tunduk kepada Ilahi.

"Aku tidak menjadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”

 (Surah Adz-Zaariyaat: Ayat 56)


Jika kita sedar dengan matlamat ini, kita tidak akan mensia-siakan masa hidup di dunia ini dengan perkara-perkara yang bosan. Pasti kita akan sentiasa isi masa dengan perkara yang membuahkan amal. Masakan tidak, kerana kita sedar bahawa hidup di dunia ini sahajalah untuk kita menanam dan membajak amal kita untuk kita dapat rasakan kemanisan buahnya di akhirat sana!

Secara analoginya, kita tahu besok ada interview pekerjaan dengan tawaran gaji RM 10k, adakah hari ini kita akan buat perkara yang sama dan akhirnya kita akan katakan bosan?

Pasti tidak! Pasti kita akan bertungkus-lumus membuat persediaan yang rapi seperti mencari baju yang sesuai, mencari info soalan-soalan yang bakal ditanya dan membuat persediaan yang rapi dari segi mental dan fizikal.

Begitulah hakikatnya kita hidup di dunia ini...
Tawaran yang paling hebat Allah tawarkan kepada kita adalah syurgaNya! Interview kita adalah di dalam kubur nanti... Perlu persediaan yang rapi kerana kita memang tidak tahu bilakah tarikh dan saat kita akan mati...
Jika manusia sedar tentang ini, pasti hambaNya yang bijak akan gunakan peluang sebaiknya untuk membuat amal terbaik demi menggapai syurgaNya..

Meneladani hamba Allah yang paling dicintai

Ayuh kita lihat kehidupan Rasulullah saw. Baginda adalah anak yatim piatu yang miskin. Tetapi tidak pernah merungut kejemuan hidup baginda dengan perkara dunia. Malahan baginda berhempas-pulas menegakkan agama Allah.

Tambahan lagi, setiap malam baginda menghiasinya dengan cucuran air mata menghambakan diri dan menyatakan rasa syukur kepada Allah, biarpun kaki baginda bengkak kerana lama dalam sujud.

Malulah kita sebagai umatnya...


Ubatilah jemu mu dengan kesyukuran..

Memang tidak dinafikan, kita semua pasti akan rasa jemu. Tapi ingatlah, jemu dengan nikmat Allah itu adalah dari syaitan. Ubatilah ia dengan kesyukuran.

Seorang suri rumah bersyukur kerana masih punyai kudrat untuk lakukan kerja rumah dan memikirkan dengan amal yang dibuat inilah yang menjadi nilai tambah amalannya sebagai hamba Allah. Seorang suami perlu bersyukur kerana dia masih punyai kerjaya, isteri dan anak-anak. Seorang pekerja perlu bersyukur kerana dikurniakan Allah kemahiran untuk dia berbakti kepada ummah.
Kita perlu bersyukur kerana masih lagi dapat makan berbanding orang lain yang dujiNya dengan penyakit kronik.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih".

 (Surah Ibrahim : Ayat 7)


Usahlah merungut dengan kejemuan mu... apabila ia bertandang dalam hidupmu, ubatilah ia dengan bersyukur dengan apa yang kau ada sekarang, kerana semua itu adalah pinjaman dari Allah swt..